Tuesday, 20 November 2012

HOTTT !!!! PEMBONGKARAN MUMIA MENJERIT

KEWUJUDAN MUMIA MENJERIT DI ZAMAN FIRAUN !!!!


SEJARAH Mesir purba sememangnya sinonim dengan kewujudan piramid dan firaun. Penyelidikan berterusan yang dijalankan ahli pakar arkeologi negara itu berjaya membongkar pelbagai kisah dalam sejarah keagungan Mesir purba yang mengagumkan.


Ahli sejarah Mesir juga tidak ketinggalan menjalankan pelbagai kajian firaun bagi mencari jawapan kepada pelbagai misteri yang wujud di sebalik setiap mumia yang ditemui. Satu daripada kajian terbaru dijalankan ke atas mumia yang ditemui pada 1881 dan kini ditempatkan di Muzium Mesir di Kaherah berjaya membantu sekumpulan ahli kaji purba menghimpun sebuah kisah cubaan membunuh, komplot menjatuhkan raja dan bunuh diri.

Mayat dengan wajah berkerut, mulut terbuka seolah-olah menjerit kesakitan bingungkan penyelidik sejak 130 tahun lalu.


Analisis mendapati Mumia Mesir yang ditemui dengan wajah yang membayangkan kesakitan amat sangat itu dipercayai mumia Putera Pentewere, suspek yang disyaki merancang pembunuhan ayahandanya, Firaun Ramses III.
Mumia berkenaan dikenali sebagai ‘Mumia Menjerit’ dan ‘Lelaki E Yang Tidak Diketahui’ berikutan rahangnya yang terbuka luas dan wajah kesakitan yang ditunjukkan, membingungkan penyelidik sejak ia ditemui kali pertama dan hinggalah selepas hampir 130 tahun berlalu.
“Kami percaya ada dua tindakan bertentangan hendak dilakukan ke atas mumia ini, satu pihak cuba menghapuskannya dan satu lagi cuba menyelamatkannya,” kata Dr Bob Brier, seorang ahli kaji purba yang menjalankan pemeriksaan dan kajian ke atas mumia itu tahun ini.
Ketika ditemui di lembah Deir El Bahri, 460 kilometer ke selatan Kaherah, mumia berkenaan berada dalam keadaan yang menyayat hati dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat ketat, terlalu ketat sehingga bekas ikatan jelas kelihatan. Wajah mumia itu berkerut dan mulutnya terbuka seolah-olah menjerit kerana kesakitan yang amat sangat.
Beberapa ahli kaji purba sebelum ini mengemukakan satu teori mengenai punca kematian mumia itu dengan berkata putera berkenaan mungkin ditanam hidup-hidup atau diracun, atau mungkin seorang Putera yang dikenali dengan nama Hitite dan hidup pada zaman Firaun Tutankhamen.

‘Mumia Menjerit’ itu bagaimanapun bukan Putera Hitite berikutan beliau berkemungkinan besar tidak dimumiakan.
“Mereka tidak akan memumiakan putera itu jika mereka membunuhnya, sebaliknya mereka akan menghapuskan mayatnya,” kata Brier, sambil menambah teori bahawa putera itu diracun atau dipaksa meminum racun tidak ditolak.
Satu dokumen papirus yang ditemui menceritakan mengenai satu perbicaraan ke atas permaisuri Firaun Ramses III, yang dijalankan pada abad ke 12 Sebelum Masihi (SM). Beliau didakwa bersubahat membunuh suaminya untuk digantikan dengan Putera Pentewere.
Komplot itu bagaimanapun segera dibongkar dan mereka yang bertanggungjawab dijatuhi hukuman mati.
Putera Pentewere terlepas hukuman mati berikutan kedudukannya sebagai putera raja, sebaliknya beliau dibenarkan membunuh diri dengan meminum racun.
Keadaan Mumia Menjerit menunjukkan kematian berlaku secara tidak hormat dan ia mungkin membayangkan bentuk hukuman yang diterima Pentewere, jika kisah konspirasi itu benar.
“Kami menemui mumia ini dibalut dengan kulit kambing. Bagi orang Mesir purba, kulit kambing bermakna beliau tidak suci. Beliau melakukan sesuatu yang jahat di dalam hidupnya,” kata Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir Dr Zahi Hawass.
“Pentewere mungkin dijatuhi hukuman mati dengan disuruh meminum racun selepas komplot pembunuhan itu berjaya dibongkar,” kata Hawass dan Brier.

Mumia Menjerit juga ditemui tanpa tanda makam dan ini akan menghalangnya daripada sampai kepada kehidupan selepas mati, dipercayai satu lagi hukuman tambahan kepadanya kerana bersubahat dalam cubaan membunuh bapanya sendiri.
Bagaimanapun, Brier berpendapat Pentewere mungkin dimumiakan secara tergesa-gesa kerana otak dan organ dalamannya tidak dikeluarkan, malah mayatnya juga tidak cukup kering. Selain itu kaedah yang digunakan untuk memumiakannya juga amat kasar.
“Selepas otak dikeluarkan, damar akan dimasukkan ke dalam rongga tengkorak, tetapi dalam kes Mumia Menjerit, kajian menunjukkan damar tidak dituangkan ke dalam tenggoroknya. Ia seolah-olah menunjukkan kerja memumiakan Pentewere dilakukan separuh hati atau kerana terdesak,” katanya.
Persoalan timbul mengenai kenapa mayat Pentewere tidak dibuang begitu saja tanpa dimumiakan?
“Seseorang yang berpengaruh mungkin bersimpati dan mahu mayat Pentewere dimumiakan dan tidak dihapuskan begitu saja.
“Atas sebab tertentu, ada pihak yang mahu memastikan Pentewere tidak menemui kehidupan selepas mati dan satu pihak lagi, seseorang yang bersimpati terhadapnya, menentang cubaan itu,” katanya.
Sementara itu, sekumpulan ahli arkeologi lain berkata anggapan Mumia Menjerit adalah Putera Pentewere masih satu spekulasi dan setakat ini hanya ujian imbasan dijalankan ke atas mumianya.
Hawass berkata, beliau bercadang menjalankan ujian DNA untuk mengesahkan hubungan Mumia Menjerit dengan Ramses III.



No comments:

Post a Comment