KAMI UNTUK ANDA ? PILIHAN DITANGAN ANDA
Ramai yang tidak mengetahui apa gunanya seorang ejen atau kelebihan melantik Perunding Hartanah jika berurusan soal hartanah. Mereka sering menganggap jika melantik Perunding Hartanah mereka akan dikenakan bayaran lebih. Inilah mentaliti yang perlu kita kikis dalam masyarakat kita hari ini.
Hakikat sebenarnya pasaran hartanah ini adalah rumit jika seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman. Kebaikan mendapatkan Perunding Hartanah akan menjadikan proses jual-beli lebih mudah dan mengurangkan tekanan. Di bawah adalah garis panduan yang menyenaraikan kebaikan menggunakan Perunding / Agen Hartanah:-
Kelebihan melantik Perunding Hartanah :
1. Pengetahuan dan kemahiran.
Membeli rumah adalah lebih dari sekadar menawarkan harga. Seorang ejen perlu berpengetahuan tentang komuniti, kejiranan, sekolah, sistem jalan, hospital, membeli-belah, lokasi pasaraya dan sebagainya. Hal ini bagi memastikan hartanah yang hendak dijual itu menjadi rebutan ramai pihak. Maka dengan ini, hartanah anda mudah terjual.
2. Penjimat masa.
Masa itu emas. Pengguna yang bijak akan menggunakan masa itu dengan sebaik mungkin. Mereka tidak akan mensia-siakan masa itu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sekiranya anda mahu menjual atau membeli rumah, anda tidak perlu membazir masa anda ke sana dan ke mari mencari hartanah yang sesuai. Serahkan sahaja semua tugas-tugas itu kepada ejen.
3. Pembantu harga jual beli.
Seandainya, anda ingin membeli sesuatu hartanah yang tidak menggunakan ejen. Kebarangkalian anda akan ditipu berkaitan dengan harga sangatlah tinggi. Apatah lagi jika penjual itu tahu yang anda tidak pernah berurusan soal jual-beli hartanah. Penjual boleh sahaja meletakkan harga yang tinggi semahu-mahunya.
Di samping itu mereka juga boleh membuat rundingan harga yang boleh menjimatkan ribuan ringgit. Ejen mempunyai akses kepada maklumat seperti nilai rumah di kawasan itu, purata harga jualan dan berapa hari sesuatu hartanah itu sudah berada di pasaran untuk dijual.
Semua ini harus diambil kira dalam proses rundingan harga. Jangan mudah terpedaya dengan harga yang ditawarkan. Seeloknya, anda sebagai pembeli harus tahu di tahap mana kemampuan anda untuk memiliki sesuatu hartanah itu.
4. Hubungan penting.
Jika anda rakyat biasa yang ingin membeli sesuatu hartanah dan tidak mengenali pihak yang tertentu dalam menguruskan jual-beli hartanah ini, saya tegaskan sekali lagi anda wajib mempunyai seorang ejen hartanah. Jangan anda fikir semua ejen akan memakan wang anda. Ini kerana ejen berdaftar ada kadar komisen yang patut diterimanya dalam sesuatu jualan. Melainkan jika anda berurusan dengan ejen hartanah haram.
5. Pengurusan dokumen.
Dalam urus niaga hartanah ini banyak melibatkan pengurusan dokumen penting pindah hak milik. Jadi urusannya sudah pasti merumitkan. Hanya mereka yang pakar dan biasa melakukannya sahaja boleh menguruskannya dengan baik. Dokumen pembelian biasanya menjangkau lebih sepuluh muka surat. Ianya bermula daripada keputusan pemilik menjual rumah sehingga masa penyerahan kunci kepada pemilik baru. Setiap proses perlu direkodkan secara rasmi menggunakan pelbagai jenis borang hartanah.
Seorang ejen hartanah mempunyai pengetahuan berkenaan dokumen yang diperlukan dan boleh menyediakan semuanya dengan teliti dan betul. Jadi pembeli dan penjual tidak perlu bimbang akan urus niaga mereka. Cuma yang perlu anda perhatikan adalah pemilihan ejen. Kerana ini akan melibatkan keseluruhan proses jual beli hartanah anda.
6. Sokongan.
Seorang ejen hartanah memainkan peranan yang sangat penting dalam jual-beli hartanah. Dengan mendapatkan seorang ejen hartanah, anda boleh menjimatkan masa, duit dan mengurangkan banyak tekanan. Kepada mereka yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan jual-beli hartanah, ejen yang berkualiti adalah satu kewajipan.
No comments:
Post a Comment